SINGAPURA: Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dengan kerjasama kesemua masjid di Singapura, akan mengadakan pungutan khas bagi memperkasa golongan belia dalam memberi khidmat kepada masyarakat yang memerlukan.
Dalam kenyataan media pada Khamis (25 Apr), RLAF mengumumkan pungutan khas dengan tujuan “Membina Keupayaan Belia untuk Berkhidmat kepada Masyarakat Memerlukan” di kesemua 70 masjid pada Jumaat ini (26 Apr).
Menurut yayasan tersebut, antara tumpuan RLAF adalah menyediakan latihan bagi belia demi membina keupayaan mereka untuk membantu masyarakat yang memerlukan.
Geran-geran juga diberikan untuk menyokong projek-projek kemanusiaan anjuran sayap belia masjid, para pelajar madarasah, Institut Pendidikan Teknikal (ITE), institusi pengajian tinggi, perusahaan sosial serta badan-badan bukan pemerintahRLAF juga berhasrat untuk memperluas rangkaian belia yang berupaya menjana perubahan positif dalam masyarakat.
Sejak ditubuhkan pada 2009, RLAF sudah mengagihkan geran bernilai lebih S$1.4 juta bagi membiaya lebih 70 projek belia yang melibatkan lebih 1,900 belia setempat dan serantau.
Golongan yang menerima manfaat dari projek-projek ini termasuk masyarakat Kemboja, Indonesia, Malaysia, India, Myanmar dan Vietnam yang antara lain dilanda konflik atau musibah.
Selain tabung-tabung khas di kesemua masjid setempat Jumaat ini, orang awam yang ingin menderma boleh melakukan demikian menerusi laman RLAF, MUIS atau aplikasi Muslim.SG.
Derma berbentuk cek boleh dikirimkan ke pejabat RLAF di Masjid Yusof Ishak atau MUIS.